IQNA

Malaysia terima 200,000 dos vaksin CanSino rancakkan momentum PICK

14:48 - August 21, 2021
Berita ID: 3100034
TEHRAN(IQNA):Malaysia hari ini menerima kumpulan pertama vaksin Covid-19 berdos tunggal jenis CanSino buatan China bagi merancakkan momentum Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) terutama di kawasan pedalaman.

Malaysia terima 200,000 dos vaksin CanSino rancakkan momentum PICKSebanyak 200,000 dos vaksin CanSino yang dibangunkan oleh CanSino Biologics Inc dari China itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kira-kira 8.45 pagi melalui penerbangan Malaysia Airlines MH361.

Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam satu kenyataan hari ini berkata 200,000 dos vaksin berbentuk produk akhir yang diterima hari ini adalah sebahagian daripada 3.5 juta dos vaksin CanSino yang telah ditempah oleh Malaysia dengan penghantarannya dibuat secara berperingkat.

“Bekalan ini dapat memperhebat lagi PICK terutamanya di kawasan yang rendah akses dan seterusnya membantu Malaysia mencapai sasaran imuniti kelompok seperti disasarkan dalam Pelan Pemulihan Negara mengikut garis masa yang ditetapkan,” menurut CITF.

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Tenaga. Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dan KSU Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Mohd Shafiq Abdullah hadir di KLIA untuk menyambut ketibaan vaksin itu.

Solution Biologics Sdn Bhd (SOLBIO), anak syarikat Solution Group Bhd (SGB), pada 30 Julai menandatangani perjanjian produk akhir serta perjanjian produk pukal dengan CanSino Biologics Inc untuk pembekalan vaksin ‘Recombinant Ad5-nCoV’ bagi penggunaan vaksin CanSino di Malaysia.

Menerusi pemeteraian kedua-dua perjanjian itu, SOLBIO boleh memenuhi obligasinya untuk membekalkan 3.5 juta dos vaksin Covid-19 kepada KKM dan menerima pesanan tambahan daripada KKM, kerajaan negeri, sektor swasta dan negara ASEAN lain.

Vaksin CanSino telah mendapat kelulusan penggunaan bersyarat untuk kegunaan kecemasan di Malaysia oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 15 Jun lepas.

Pada 17 Jun, Menteri Penyelaras PICK ketika itu Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata vaksin jenis CanSino akan ditawarkan kepada negeri-negeri yang mempunyai kawasan pedalaman yang sukar diakses seperti Pahang, Sabah dan Sarawak.

Vaksin satu dos akan memudahkan petugas kesihatan yang tidak perlu memasuki kawasan pedalaman untuk kali kedua bagi melengkapkan vaksinasi kepada penerima, kata Khairy.

Setakat ini, Malaysia menggunakan vaksin dua dos jenis Pfizer-BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca. Vaksin dos tunggal CanSino adalah yang terbaharu akan digunakan dalam PICK.

harakahdaily.net

captcha